fb fb fb fb fb

Tular kes simbah cat di IPD Degamat adalah kes lama

FOTO FAIL

SEGAMAT, 18 Jun - Polis mengesahkan kejadian kes khianat simbah cat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini yang tular di media sosial hari ini merupakan kes lama yang disebarkan semula.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah dalam kenyataan berkata, kes berkenaan berlaku di tembok pagar kediaman rasmi Ketua Polis Daerah Segamat di Kilometer 187.5 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini pada pukul 11.45 malam pada 4 Februari lepas melibatkan seorang suspek lelaki tempatan berusia 31 tahun.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian kerana suspek sering terdengar bisikan (disyaki halusinasi) menyatakan dia terlibat dengan kes dadah dan menjadi buruan polis. Akibat itu suspek menyasarkan IPD Segamat sebagai tanda protes.

"Bagaimanapun disebabkan kehadiran polis di pos pengawal IPD itu, suspek menukar sasaran kepada rumah Ketua Polis Daerah dengan menggunakan laluan yang sama dengan IPD Segamat," katanya.

Beliau berkata pada 5 Februari lepas suspek ditangkap di Taman Perling di sini selain satu tin cat serta beberapa barang kes lain yang digunakan semasa kejadian turut dirampas.

Ahmad Zamry berkata saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah namun berdasarkan semakan lelaki itu mempunyai dua rekod lampau kes khianat dan satu kes samun.

"Pada 6 Feb suspek dituduh di Mahkamah Majistret Segamat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas gagal membayar denda RM2,500.

"Suspek juga dikenakan perintah pengawasan bawah Akta Pencegahan Jenayah di Mukim Lepar, Pekan, Pahang selama tempoh setahun bermula 6 Jun lepas," katanya.

Terdahulu, tular dua keping gambar di sebuah laman portal memaparkan tembok pagar kediaman Ketua Polis Daerah Segamat disimbah cat berwarna kuning.

TETITIA YUSOFF