fb fb fb fb fb

Tiga warga asing didakwa culik lelaki Bangladesh

Ketiga- tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan menculik seorang lelaki Bangladesh pada Jun lalu.

GEORGE TOWN, 5 Julai- Dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret dekat sini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Bangladesh dalam kejadian pada Jun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Md Jalis Mahamud, 29, dan Md Mamun Hosen, 22, serta Khang Khin Tun, 26,dituduh menculik mangsa di hadapan sebuah bank di pusat bandar di sini.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka dengan niat bersama-sama telah menculik Mohamad Kabir Husin dengan tujuan menuntut wang tebusan berjumlah 5 juta Bangladesh Taka, bersamaan dengan RM200,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Jun lalu, kira-kira pukul 6.03 petang, di hadapan Maybank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh berikutan mereka tidak memahami pertuduhan yang dibacakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Nadratun menetapkan 16 Julai depan untuk kehadiran jurubahasa Bangladesh dan Myanmar dan sebutan semula kes.

Sebelum ini, polis menahan lima lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan kejadian culik melibatkan seorang lelaki senegara pada 21 Jun lalu.

Kesemua yang berusia 20 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan di Shah Alam, Selangor hasil maklumat awam dan risikan.

Polis yang menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 50-an yang bekerja sebagai tukang cuci di bandar raya ini memaklumkan bahawa dia menerima panggilan telefon daripada suspek meminta wang tebusan RM200,000 jika mahu anak lelakinya yang diculik selamat.

Bertindak daripada laporan itu dan siasatan dijalankan, polis menyerbu sebuah premis di Shah Alam dan menahan lima lelaki itu serta menyelamatkan mangsa.

Mangsa yang berusia lingkungan 20-an ditemukan selamat dan dipercayai baharu tiba di negara ini untuk mencari kerja.

ZEHRA BINTI ZAMBRI