fb fb fb fb fb

Tiga suspek kes samun di UTHM diberkas

Foto Hiasan

MUAR, 16 April - Polis berjaya memberkas tiga sekawan berusia 20 dan 22 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pagoh dalam tangkapan di dua lokasi berasingan, sekitar Kulai dan Muar, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner (ACP) Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam sejurus laporan berhubung insiden itu diterima.

Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga tempatan dibuat di Lebuhraya Utara Selatan, susur keluar Pagoh, kira-kira pukul 9.00 pagi. 

Manakala dua lagi individu ditahan di sebuah taman di Kulai, pukul 11.40 malam pada hari sama. 

"Kesemua mereka, merupakan suspek utama bagi insiden jenayah samun terhadap empat orang pelajar wanita di sebuah asrama UTHM, Pagoh, pada 3.00 pagi, semalam. 

"Ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah, dengan dua daripada mereka, masing-masing mempunyai 27 dan 33 rekod jenayah lampau," kata Raiz Mukhliz menerusi kenyataan.

Turut dirampas dalam serbuan ialah 3.15 gram dadah jenis syabu, 24 peranti vape dan seutas rantai emas.17 telefon bimbit, tiga buah laptop, dua buah tablet dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam jenayah terbabit. 

Tiga buah kenderaan turut disita. 

Kes disiasat mengikut seksyen 395 kanun keseksaan.

TETITIA YUSOFF