fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan miliki senjata berbahaya, peralatan polis

Tiga lelaki ditahan pada Jumaat kerana memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah dipercayai digunakan untuk kegiatan samun di Sungai Senam, Ipoh / Foto FB IPD Ipoh

IPOH, 22 Jun - Tiga lelaki ditahan pada Jumaat kerana memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah dipercayai digunakan untuk kegiatan samun di Sungai Senam, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menahan sebuah kenderaan yang dalam keadaan mencurigakan selepas menerima maklumat orang awam kira-kira pukul 6.10 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga lelaki dan kenderaan itu menemukan senjata berbahaya dan peralatan polis yang dimiliki secara tidak sah.

"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, pihak polis percaya telah menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di daerah Ipoh," katanya menerusi kenyataan.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Abang Zainal Abidin berkata semakan rekod lampau mendapati kesemua lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Ketiga-tiga lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 37 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN