fb fb fb fb fb

MCMC, PDRM tumpas kegiatan 'phishing' seorang individu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan seorang individu dalam kegiatan memancing data (phishing) melalui pautan khidmat pesanan ringkas (SMS).

MCMC dalam satu kenyataan berkata, operasi bersepadu itu dijalankan susulan maklumat diterima daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis.

"Dalam operasi bersepadu semalam, suspek yang menggunakan sebuah kenderaan bagi menjalankan kegiatan phishing telah ditahan di Cheras, Kuala Lumpur apabila beliau memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi menyebarkan SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan berkenaan.

"Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi milik suspek yang juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian," katanya.

2106 MCMC OPS PANCING DATA 3Foto MCMC

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan berkenaan.

Peralatan berkenaan digunakan bagi tujuan menghantar SMS untuk memperdaya pengguna.

Pada masa sama orang ramai dingatkan supaya tidak terpedaya dan menekan sebarang pautan menerusi SMS yang diterima.

Kes disiasat bawah seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Siasatan juga dijalankan bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun MCMC menyeru orang awam, jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan peranti komunikasi untuk berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada suruhanjaya itu atau PDRM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI