fb fb fb fb fb

Jenayah kekerasan, harta benda meningkat 15 peratus di Keningau

Gambar hiasan

 KOTA KINABALU, 22 Jun - Polis mendedahkan Indeks Jenayah Kekerasan dan Harta Benda di daerah Keningau menunjukkan peningkatan 15.5 peratus.

Ketua Polis Daerah Keningau, Penguasa Polis (SP) Yampil Garai berkata sebanyak 79 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Jun tahun ini berbanding 66 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, penyelesaian kes telah mencapai 106.7 peratus bagi tahun ini berbanding 78.9 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

"Manakala bagi kes jenayah komersial, sebanyak 57 kes siasatan dibuka sehingga Mei, melibatkan kes penipuan dalam talian dengan anggaran kerugian hampir RM1 juta," katanya.

Yampil berkata, polis turut menahan 19 suspek dalam kes penipuan dalam talian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kawalan keselamatan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Keningau terus dipertingkat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Ujarnya, setiap anggota juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap sebarang tanda ancaman atau aktiviti mencurigakan di kawasan balai polis.

"Saya juga telah meningatkan semua pegawai anggota bagi meningkatkan keselamatan balai dan keselamatan diri berikutan insiden yg berlaku melibatkan serangan di balai polis Ulu Tiram yang lalu.

"Oleh itu saya telah mengingatkan agar keselamatan balai dipertingkatkan dan siap siaga di utamakan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN