fb fb fb fb fb

Cuba masuk negara secara haram, 10 PATI ditahan

Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba memasuki negara ini melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand, ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada Jumaat / Foto ATM

BUKIT KAYU HITAM, 22 Jun - Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba memasuki negara ini melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand, ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada Jumaat.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua PATI itu dikesan di kawasan kebun getah di bawah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) kira-kira pukul 3.40 petang.

“Pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

"Hasil pemeriksaan tujuh lelaki dan tiga wanita berumur antara 21 hingga 49 tahun merupakan warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," menurut kenyataan itu.

Turut dirampas dalam operasi tersebut enam buah telefon bimbit, 12 buah beg, satu pasport palsu dan wang tunai mata wang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM3,326.23.

Kesemua PATI itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN