fb fb fb fb fb

Tiga ditahan terlibat memunggah hasil galian tanpa prosedur sah

Tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan memunggah keluar hasil galian yang mengandungi bauksit tanpa mengikuti prosedur sah di sekitar Kuantan, Pahang / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 November – Tiga lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan memunggah keluar hasil galian yang mengandungi bauksit tanpa mengikuti prosedur sah di sekitar Kuantan, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 50 tahun terdiri daripada dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi yang dipercayai menerima rasuah untuk melindungi kegiatan tersebut.

"SPRM turut menyita wang tunai berjumlah lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek, dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Azam, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh dipercayai dilakukan tanpa kebenaran yang sah, di mana hanya hasil galian yang telah digali sebelum 2022 yang dibenarkan untuk dipunggah.

Beberapa pengusaha lori turut memberi suapan kepada pegawai agensi yang terlibat bagi melindungi kegiatan haram tersebut.

Sebanyak lima jentera termasuk empat excavator dan sebuah shovel loader, serta tujuh lori pengangkut, disita dan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Selain itu, lapan unit lori pengangkut turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana disyaki membawa muatan melebihi kapasiti yang dibenarkan.

Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama enam hari sehingga 19 November ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN