fb fb fb fb fb

Suri rumah rugi RM159,000 jadi mangsa pelaburan tidak wujud

FOTO HIASAN

PADAWAN 18 September- Seorang suri rumah di Padawan kerugian RM159,000 selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, wanita berusia lewat 30-an itu dimasukkan ke kumpulan sembang berkaitan pelaburan di Telegram oleh sebuah syarikat didakwa 'trader' yang memberikan penerangan tentang pendapatan lumayan.

Tertarik dengan pelaburan tersebut mangsa bertindak mengeluarkan simpanan ASB miliknya sehingga awal September menerusi 13 transaksi ke 13 akaun bank berlainan.

Mangsa menyedari ditipu selepas tidak memperoleh keuntungan seperti yang dijanjikan daripada pelaburan tersebut malah diarah membuat bayaran tambahan untuk membolehkan wang keuntungan dimasukan ke akaun mangsa.

Susulan daripada kejadian itu orang ramai dinasihatkan hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan dari ejen yang berdaftar sahaja tentang pelaburan selain tidak memuat turun ANDROID PACKAGE KIT, atau APK yang tidak diketahui kandungan.

Pelbagai lagi kaedah boleh digunakan untuk mengelak ditipu termasuk perkhidmatan yang disediakan National Scam Response Centre, NSRC di talian 997 selain memeriksa modus operandi penipuan di laman sesawang dan media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE