fb fb fb fb fb

SPRM KL tahan 'orang tengah' bayar rasuah kepada penguat kuasa

Foto SPRM

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Seorang pemilik premis haram ditahan kerana disyaki menjadi 'orang tengah' yang mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, perintah reman dikeluarkan terhadap suspek selama empat hari sehingga 17 Jun depan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai menjadi perantara yang mengumpul wang rasuah daripada beberapa premis perniagaan haram seperti rumah urut, pusat hiburan dan premis di ibu negara.

"Wang yang dikumpul kemudian akan diagihkan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) selain kepada anggota sebuah lagi agensi penguat kuasa lain.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Suspek telah ditahan sekitar ibu negara kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

"Susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menemui dan menyita wang berjumlah hampir RM400,000 yang dipercayai telah dikumpul untuk diedarkan kepada pegawai serta anggota-anggota penguat kuasa.

"Tangkapan ini juga adalah susulan penahanan empat individu termasuk seorang timbalan pengarah PBT pada 7 Jun lalu," kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI