fb fb fb fb fb

Bekas penjawat awam dituduh kemuka tuntutan palsu lebih RM300,000

Grafik

LABUAN, 14 Jun - Seorang bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu sebanyak RM335,933 antara Januari 2015 hingga Januari 2016.

Tertuduh, Fairuzul Fazillah Musa dari Sarawak, 38 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Fairuzul didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia di sini.

Menurut pertuduhan, Fairuzul dituduh membuat tuntutan palsu melalui beberapa pemalsuan dokumen ke atas Sijil Pengesahan Peruntukan (SPP) Elaun Latihan Tempatan PSSTLDM, Borang Kemasukan Elaun Latihan Berterusan, Borang Kemasukan BITK dan Sijil Pengesahan Kedatangan Harian Angkatan Sukarela bagi Tuntutan Elaun Latihan Tempatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM Labuan, Joe Randy memohon mahkamah mengenakan jaminan RM80,000.

Hakim membenarkan Fairuzul diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 27 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

GRACE AISYAH KEDAYAN