fb fb fb fb fb

Pemandu lori hadap pertuduhan bunuh isteri

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan, minggu lepas.

S. Suria Raj, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh A. Kirshashini, 28, di dalam bilik tidur di sebuah pangsapuri di Jalan Palma, Bandar Botanik di sini antara pukul 6.30 hingga 7.00 pagi pada 7 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  

Majistret Siti Zubaidah Mahat menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kesihatan mental.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner (ACP) Cha Hoong Fong berkata mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan. 

TETITIA YUSOFF