fb fb fb fb fb

Penerbit, pengarah filem Mentega Terbang dibenar rujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan berhubung Seksyen 298 Kanun Keseksaan melibatkan pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan itu setelah memutuskan permohonan yang difailkan Mohd Khairianwar Jailani dan Tan Meng Kheng pada 11 Mac lepas adalah bermerit.

Setelah mahkamah menimbang dan meneliti secara keseluruhan permohonan difailkan kedua-dua pemohon menerusi notis usul difailkan pada 11 Mac lepas serta hujahan bertulis serta lisan pada 10 Mei lepas, mahkamah mendapati permohonan itu adalah bermerit.

Mahkamah menangguhkan kes dihadapi kedua-dua pemohon sehingga persoalan undang-undang itu diputuskan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 20 September ini untuk sebutan kes bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan prosiding di Mahkamah Tinggi.

Dua persoalan itu adalah bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara dan sama ada frasa 'melukakan perasaan agama seseorang', iaitu sebab unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan melanggar hak untuk perbicaraan adil kerana frasa itu tidak jelas dan demikian melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

TETITIA YUSOFF