fb fb fb fb fb

27 pempengaruh ditahan promosi judi 'online'

Tangkap layar sebahagian pempengaruh yang mempromosi permainan judi secara dalam talian/Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Seramai 27 pempengaruh media sosial diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam promosi judi dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka terdiri daripada 23 wanita dan 4 lelaki berusia 21 hingga 35 tahun.

Shuhaily mendedahkan, mereka dipilih oleh sindiket untuk mempromosikan aktiviti perjudian kepada pengikut menerusi laman sosial masing-masing.

"Jumlah bayaran yang boleh diterima oleh seseorang pempengaruh itu atas satu platform iaitu sebanyak RM1,500 hingga RM8,000 setiap bulan berdasarkan jumlah pengikut.

"Kita dapati pempengaruh yang digaji sindiket judi ini menjalankan perniagaan menjual pelbagai produk termasuk produk kecantikan dan di samping itu, mempromosi laman kegiatan judi dalam talian.

"Semua pempengaruh dipercayai digaji beberapa sindiket judi berlainan sejak lebih setahun lalu," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Tangkapan dibuat semalam menerusi operasi di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hasil risikan dua bulan lepas dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 30 telefon bimbit pelbagai jenama dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

GRACE AISYAH KEDAYAN