fb fb fb fb fb

Penjawat awam tidak mengaku liwat anak perempuan berusia empat tahun

Penjawat awam, 38, dihadapakan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini

BUTTERWORTH, 14 Jun- Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan bulan lepas.

Lelaki berusia 38 tahun itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berumur empat tahun di sebuah rumah di Nibong Tebal, dekat sini antara pukul 5.30 petang hingga 6.30 petang, Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap kanak-kanak tersebut di tempat, masa dan bulan yang sama, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Aini Yusof tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AISHAH MD ISA