PUTRAJAYA 9 September - Satu sindiket pemalsuan cap dan dokumen berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi khas yang dijalankan pada 5 dan 6 September lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata sindiket yang didalangi seorang lelaki warganegara Pakistan bernama 'Azhar' itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan premis kediaman di ibu negara sebagai pusat operasi.
Turut ditahan ialah seorang lagi lelaki warganegara Pakistan dan seorang wanita warganegara India.
Penahanan suspek membawa kepada rampasan 16 pasport pelbagai negara, 50 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta 28 unit cap keselamatan masuk dan keluar milik Imigresen pelbagai negara yang disyaki palsu.
Menurut Ruslin, sindiket berkenaan menyasarkan warganegara asing di Malaysia khususnya dari Bangladesh, Sri Lanka, India, Pakistan, Indonesia dan Myanmar yang menetap di Lembah Klang.
"Kadar bayaran untuk cop setem atas pasport berjumlah antara RM100 hingga RM300 untuk sekali cop. Kadar bayaran itu ditentukan sindiket kepada pelanggan yang tiada dokumen atau tamat tempoh" katanya dalam satu sidang media di Putrajaya.
Semakan awal mendapati 2 lelaki warganegara Pakistan itu memiliki PLKS yang masih sah serta didaftarkan untuk bekerja dalam sektor tekstil.
Manakala, wanita warganegara india tersebut didapati telah tinggal lebih masa di Malaysia.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.