fb fb fb fb fb

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Afrika tumpas

Pasport palsu yang dirampas JIM

KUALA LUMPUR, 4 November- Sindiket pemalsuan dokumen didalangi dua lelaki warga Afrika tumpas selepas mereka ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh menerusi satu kenyataan berkata hasil risikan selama dua minggu berjaya mengesan dan menahan dalang utama sindiket iaitu seorang lelaki warganegara Nigeria berusia 46 tahun di Kajang, Selangor manakala suspek kedua berusia 56 tahun dari Ghana ditahan di Jalan Kasturi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di kediaman suspek di Jalan Chan Sow Lin, menemukan 10 naskah pasport Nigeria disyaki palsu serta sekeping pelekat pas pelajar palsu.

“Suspek mendedahkan bahawa pelekat pas pelajar tersebut diperoleh daripada seorang lelaki warga Ghana. Seterusnya pasukan operasi bertindak mengesan dan menahan lelaki warganegara Ghana di Jalan Kasturi.

"Semasa penahanan suspek kedua, pasukan operasi turut menemukan sekeping pelekat pas pelajar palsu bersama suspek selain bertindak merampas dua keping pelekat pas pelajar dan enam keping i-kad Jabatan Imigresen dalam serbuan di kediaman lelaki itu di Cheras, Selangor,"katanya.

Jelas Ruslin, turut dirampas sekeping kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dan tujuh keping kad pelajar pelbagai universiti serta kolej di sekitar Lembah Klang.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga Afrika yang mempunyai masalah seperti ketiadaan dokumen pengenalan diri dan visa di negara ini sebelum menawarkan perkhidmatan untuk menyediakan dokumen seperti pasport, pas pelajar, pas penggajian, i-kad, kad UNHCR dan kad pelajar palsu dengan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap pasport dan RM200 sekeping bagi lain-lain dokumen.

“Kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” kata Ruslin.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE