fb fb fb fb fb

Simpan lapan bahagian badan pelanduk tanpa lesen, lapan anggota FRU didakwa

Lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen, berupa lapan bahagian badan pelanduk pada 2021 / Foto Hiasan

SEREMBAN, 18 April - Lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen, berupa lapan bahagian badan pelanduk pada 2021.

Kesemua tertuduh, masing-masing berusia antara 36 hingga 50 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan, dihadapan Hakim Mazni Nawi.

Kesemua anggota keselamatan itu, didakwa secara bersama-sama menyimpan tanpa lesen lapan bahagian pelanduk (Tragulus javanicus) iaitu hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), di dalam sebuah tong 'coleman' yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 60(1)(b), Akta 716, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Amanina Mohamad Anuar.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan RM2,000 setiap seorang dan sebutan semula kes pada 12 Jun ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN