fb fb fb fb fb

Seleweng gas subsidi sejak 2022, premis diserbu kali kedua

KPDN bersama PDRM menyita 4,769 tong LPG bersubsidi dan industri seberat 16,500kg bernilai RM401,500 dalam serbuan di Sentul/Foto KPDN KL

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Tindakan tamak seorang pemborong gas petroleum cecair (LPG) berlesen didakwa menjalankan aktiviti pemindahan gas bersubsidi secara haram terbongkar apabila premisnya di Sentul diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira 11.20 malam itu, pasukan penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyita 4,109 tong LPG bersubsidi (12kg dan 14kg) dan 660 tong LPG industri (50kg) dengan jumlah keseluruhan 16,500 kilogram gas bernilai RM401,500.

Pengarah KPDN KL, Mohd Sabri Seman berkata, dua lelaki warga asing yang menjalankan kerja-kerja pemindahan gas secara haram turut ditahan di bawah inisiatif 'Kita Gempur' serta operasi khas OPS GASAK dan OPS TIRIS 2025.

"Pemborong telah beroperasi hampir 30 tahun dalam industri didapati melakukan aktiviti pemindahan gas bersubsidi 14kg ke tong industri 50kg secara haram sejak tahun 2022.

"Pemborong juga pernah diserbu Ogos tahun lalu atas kesalahan sama namun masih tidak serik," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, aktiviti dipercayai dijalankan bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi dalam kawasan premis berbumbung yang tertutup dan sukar diakses bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

"Pemborong terbabit dipercayai meraih keuntungan berlipat ganda apabila kos menghasilkan tong LPG industri menggunakan gas bersubsidi hanyalah sekitar RM100 tetapi dijual pada harga antara RM180 hingga RM240 setong, lebih murah daripada harga pasaran industri," katanya.

KPDN WPKL yang melakukan risikan selama sebulan turut menyita rakaman CCTV, telefon bimbit dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan mengilang tanpa lesen sah.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat pula denda maksimum RM2 juta dan RM5 juta untuk kesalahan berulang.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambah beliau, seramai 13 individu ditahan di bawah OPS JERIJI 6.0 sepanjang tahun ini, melibatkan enam warga tempatan dan tujuh warga asing.

KPDN WPKL menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemegang lesen barang kawalan yang menyalahgunakan subsidi.

GRACE AISYAH KEDAYAN