KUALA TERENGGANU, 30 April – Seorang bekas Penolong Juruukur Bahan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 14 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan mengemukakan dokumen palsu membabitkan nilai keseluruhan RM4.98 juta.
Tertuduh, Mohammad Hanif Ahmad, 41 tahun, dan isterinya, Maimunah Syahbudin, 47 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Mohammad Hanif didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam di MPD bagi mendapatkan suapan berbentuk kontrak kerja pembersihan awam dan kerja berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM4.98 juta.
Dia didakwa mengesyorkan syarikat milik bapa, abang dan rakannya untuk mendapatkan kontrak berkenaan antara 16 Disember 2018 hingga 9 Mac 2021 di Jalan Yahaya Ahmad, Dungun.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Maimunah yang merupakan bekas kontraktor, berdepan 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun dan sijil pendaftaran tiga syarikat berbeza dalam urusan dengan MPD.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 17 Disember 2020 hingga 10 Januari 2021 di lokasi yang sama, dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.