PUTRAJAYA, 5 Jun- Gabungan Pasukan Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya membongkar kegiatan sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang.
Dalam operasi khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, sebanyak 19 buah lori kontena yang disyaki membawa barangan lari cukai pelbagai jenis yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan telah ditahan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati sindiket ini memiliki lebih 10 syarikat 'forwarding' yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
"Hasil risikan yang dijalankan lebih dari tiga bulan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama-nama individu yang tidak tahu menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan.
"Ianya bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain bagi membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas dari sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai tiada kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan," kata SPRM dalam satu kenyataan.
Menurut sumber itu lagi, sindiket ini dipercayai didalangi oleh seorang lelaki warga asing yang beribu pejabat di luar negara dan telah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.
“Dianggarkan sindiket ini menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan. Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 billion berdasarkan cukai minima RM7,000 bagi setiap kontena.
"Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini telah membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang Kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti 'wheel chair' dan barangan perubatan," menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya, hasil risikan juga mendedahkan, ‘kontena terbang’ tersebut memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit sahaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa sedangkan kontena-kontena berkenaan tidak melalui proses pemeriksaan kastam dan seterusnya akan terus keluar dari pelabuhan untuk diedarkan ke seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan SPRM telah mengemukakan permohonan reman terhadap dua individu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini, dan mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama 4 hari mulai hari ini hingga 8 Jun 2024.
Menurut Azam, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan Akta di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri.
"SPRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada Ketua Pengarah JKDM atas kerjasama yang diberikan serta berharap ketua-ketua jabatan mengambil langkah seumpama ini untuk mengekang isu-isu rasuah dan ketirisan di agensi masing-masing.
"Kami telah mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama yang dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, agen-agen forwarding serta pegawai-pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini dan akan menahan mereka dalam masa terdekat.
"SPRM juga akan memohon bantuan agensi negara luar bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai akaun-akaun milik dalang utama ini agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah berjaya membongkar sindiket penyeludupan dan lari cukai di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.