fb fb fb fb fb

Empat wanita ditahan, kes salah guna lencana kereta

FOTO FAIL

JELI, 5 Jun - Polis Kelantan menahan empat wanita berusia 19 hingga 64 tahun bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes salah guna lencana kereta yang menggunakan nama kerabat Diraja Kelantan.

Antara yang ditahan ialah Yang dipertua dan bendahari pertubuhan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang serta dua wanita yang mempamerkan lencana berkenaan di kenderaan mereka.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima satu aduan pada 17 Mei lalu daripada pengadu yang melihat satu hantaran di Instagram oleh seorang lelaki yang memaparkan beberapa keping gambar kenderaan mewah menggunakan nama Raja Kelantan Asal Bentara Setia Paduka Raja.

Katanya, pengadu menyatakan Pertubuhan Kerabat D'raja Kelantan tidak pernah mengeluarkan logo atau sebarang lambang seperti itu dan ia disyaki disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, siasatan pihak polis mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang dimiliki seorang lelaki berusia 61 tahun dan kita juga mengenal pasti bahawa logo yang dipamerkan pada kenderaan terbabit adalah milik Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia.

"Wanita yang ditahan ini satu merupakan Yang dipertua dan anaknya sebagai bendahari dan dua lagi adalah katanya kenderaan arwah suaminya merupakan ahli kepada kumpulan ini dan menggunakan logo.

"Kita tahan dia atas sebab logo itu didapati dia kata suami dia jadi, takpelah kita rekod kenyataan dan sebagainya dan dia mungkin boleh membantu sebagai saksi dan sebagainya. Tetapi dua ini mereka merupakan Yang dipertua dan bendahari dan kita akan melihat daripada aspek jenayah komersial untuk melihat audit akaunnya dan sebagainya," kata Muhamad Zaki.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan lain untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain Muhamad Zaki berkata, seorang lelaki warganegara asing ditahan berhubung penularan menerima gelaran 'Datuk' dari negeri Kelantan.

Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 3.00 petang semalam selepas serbuan dilakukan di Ascenda Residence Jalan Ayer Jernih, Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur.

Suspek direman selama tiga hari bermula semalam hingga 6 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

TETITIA YUSOFF