fb fb fb fb fb

Penolong pegawai tadbir kanan JHEAT hadapi 24 dakwaan salah guna kuasa

Tertuduh (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 24 tuduhan menyalahgunakan kuasa dengan memberikan perolehan membaiki kenderaan jabatan kepada syarikat milik isterinya, dua tahun lalu./ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Seorang penolong pegawai tadbir kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 24 pertuduhan salah guna kuasa dengan mengesyorkan perolehan pembaikan kenderaan kepada syarikat milik isterinya bernilai RM24,267.

Bagaimanapun, tertuduh, Ali Embong, 60, yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan iaitu mengesyorkan borang permohonan servis/pembaikian/mendapatkan bekalan untuk kenderaan jabatan bagi perolehan penyelenggaraan bernilai antara RM260 hingga RM2,890.

Tertuduh mempunyai kepentingan memandangkan isterinya adalah pemilik kerjasama syarikat berkenaan.

Dia selaku pegawai kenderaan jabatan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat JHEAT di daerah ini antara 30 Oktober 2022 hingga 14 Disember 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu saksi sepanjang prosiding berlangsung, perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan antara 1 hingga 7 hari bulan dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Aznika Mohd Anas, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Ain Mohd Rani.

ZEHRA BINTI ZAMBRI