fb fb fb fb fb

Representasi 'Inspektor Sheila" batal pertuduhan sebabkan kegusaran awam ditolak

Representasi dikemukakan pegawai polis berpangkat Inspektor dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' bagi membatalkan pertuduhan menyebabkan kegusaran awam di sebuah pusat beli-belah pada Jun tahun lepas ditolak pihak pendakwaan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Representasi dikemukakan pegawai polis berpangkat Inspektor dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' bagi membatalkan pertuduhan menyebabkan kegusaran awam di sebuah pusat beli-belah pada Jun tahun lepas ditolak pihak pendakwaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan hari ini kepada Majistret Illi Marisqa Khalizan pada prosiding sebutan bagi mengetahui status representasi yang dikemukakan Inspektor Sheila itu atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, pada 20 Feb lepas.

Peguam Anis Salihah Abdul Malek yang mewakili Sheila mengesahkan perkara itu dan memohon supaya tarikh perbicaraan baharu ditetapkan kerana peguam utama M. Manoharan yang mengendalikan perbicaraan itu mempunyai kes lain di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Majistret Illi Marisqa kemudian menetapkan 1 dan 2 Julai ini sebagai tarikh baharu perbicaraan kes.

Pada 21 Feb lepas, peguam Manoharan mengesahkan memfailkan representasi sehari sebelum itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas alasan pertuduhan itu remeh.

Pada 8 Nov tahun lepas, Sheila selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memarahi dan membunyikan hon kereta yang panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga menyebabkan kegusaran awam terhadap Nuraihan Nadzirah Ibrahim, 27.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pada 5.26 petang 16 Jun tahun lepas mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN