fb fb fb fb fb

Polis tumpas Geng Bean, dua termasuk dalang utama diberkas

Motosikal pelbagai jenis yang dirampas pada sidang media tangkapan dan rampasan ops lejang geng Bean Keramat di IPK Kuala Lumpur/Foto Polis KL

 KUALA LUMPUR, 25 April - Polis menumpaskan Geng Bean yang aktif mencuri motosikal susulan penahanan dua suspek utama dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan Isnin lalu.

Penahanan dua lelaki berusia 33 dan 37 tahun itu dibuat pasukan Bahagian Risikan Jenayah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya berjaya menahan lelaki berusia 33 tahun yang juga dalang utama di Taman Keramat pada pukul 11 pagi dan turut merampas empat buah motosikal.

Susulan penangkapan suspek pertama, pihaknya menahan suspek kedua di sebuah bengkel di Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam serbuan itu, 10 buah motosikal pelbagai jenis, selain enam lagi motosikal yang telah dileraikan enjin turut dirampas pihak polis.

"Modus operandi kumpulan Bean yang merupakan 'mastermind' (dalang) dalam kes ini iaitu tangkapan pertama, akan mencuri kenderaan motosikal di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang bersama dua rakan mereka yang masih lagi bebas.

"Jadi motosikal yang mereka curi ini akan dihantar ke bengkel di Seremban.

"Hasil serbuan ini, kita percaya berjaya menyelesaikan 20 kes iaitu sembilan di Lembah Klang dan satu di Pahang, manakala selebihnya dalam siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Habibi lagi, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai kes jenayah lampau dan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah.

Ujar beliau, siasatan kes tersebut masih dijalankan dan dua lagi suspek telah dikenal pasti serta sedang giat diburu.

Kedua-dua suspek direman lima hari sehingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN