LABUAN, 25 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan mematahkan cubaan sindiket menyeludup keluar minuman keras pelbagai jenama dari Pulau Labuan yang dianggarkan bernilai lebih RM472,000, pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.05 pagi itu, Maritim turut merampas sebuah bot pancung fiber dan tiga buah enjin.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, menerusi rondaan operasi, peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Labuan menuju ke Menumbok.
"Ketika menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan, bot pancung fiber tersebut bertindak memecut ke arah tebing hutan bakau muara Sungai Klias dan tekong bot telah melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.
"Pemeriksaan lanjut di dalam bot pancung fiber tersebut telah menemukan sejumlah 10,728 tin minuman keras dan botol pelbagai jenama dipercayai dibawa secara haram dan cuba diseludup keluar dari Pulau Labuan untuk pasaran tempatan.
"Kesemua barang rampasan beserta bot pancung fiber tersebut ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan.
"Usaha mengesan serta memburu dalang serta suspek diteruskan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang-undang yang tegas," katanya.
Jika disabitkan bersalah, mana-mana individu boleh dikenakan denda tidak lebih 20 kali ganda cukai barang yang cuba diseludup atau RM500,000 atau mana-mana amaun yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Izwanhadi menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di laut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan.