fb fb fb fb fb

Polis tahan keldai dadah warga Peru telan 95 kapsul kokain

Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan gambar kapsul kokain yang dikeluarkan daripada perut keldai dadah warga Peru yang ditahan pada 17 Mei lalu

SHAH ALAM, 20 Mei- Seorang lelaki warga Peru yang menyembunyikan 95 kapsul berisi kokain di dalam perutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam satu sidang media hari ini berkata, keldai dadah berusia 20 tahun itu diberkas selepas pihak berkuasa mendapati lelaki berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di Balai Ketibaan Antarabangsa kira-kira 8.30 pagi sejurus tiba melalui penerbangan dari Peru dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu ke KLIA.

"Pemeriksaan dan imbasan sinar-X oleh pegawai perubatan mengesan imej mencurigakan di dalam perut lelaki itu dan dia kemudian ditahan di sebuah hospital berdekatan dengan pemantauan polis.

“Hasil pemantauan selama tiga hari, lelaki terbabit mengeluarkan 95 ketulan kapsul berwarna putih kekuningan dipercayai berisi dadah jenis kokain dianggar seberat 1,152 gram," katanya.

Keldai dadah itu mengaku menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menerima arahan seterusnya daripada kartel dadah untuk membawa bekalan berkenaan ke destinasi seterusnya.

Dadah berkenaan dianggar bernilai RM230,400 dipercayai untuk pasaran antarabangsa.

Suspek kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu dalam kes berlainan, Datuk Hussein turut memaklumkan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur ditumpaskan dengan penahanan tiga sekeluarga, dua lelaki dan seorang wanita serta merampas syabu dan ganja, masing-masing seberat 11,418 gram dan 43,860 gram di kawasan parkir kenderaan di Petaling Jaya, pada pukul 3.10 petang 15 Mei lepas.

Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan kira-kira setengah jam kemudian di kawasan sama serta merampas satu bungkusan mengandungi dadah di dalam kereta dinaiki.

Nilai rampasan bagi kes berkenaan berjumlah RM364,800.

Pada tarikh yang sama, polis turut menahan dua lelaki di sekitar Sungai Way, Petaling Jaya selepas pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka menemukan dadah jenis ganja seberat 22.05 kilogram yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu.

Hasil penahanan itu, polis berjaya menangkap seorang lagi lelaki di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 malam keesokan harinya dan merampas dadah jenis ganja seberat 21.809 kilogram yang disembunyikan dalam kotak dan tong di ruang tamu rumah.

Kesemuanya kini direman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE