fb fb fb fb fb

Polis tahan empat suspek terlibat kes bayi maut didera

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 1 Mei - Empat individu ditahan kerana disyaki terlibat kes kematian seorang bayi perempuan berumur sembilan bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dipercayai akibat didera, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisionar (ACP) Balveer Singh Mahindar Singh berkata dalam kenyataan berkata, suspek berusia 29 hingga 42 tahun itu ditahan di beberapa lokasi,di sini pada pukul 10.00 malam, Khamis.

Beliau berkata Rabu lepas polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari HSA berhubung seorang bayi perempuan warga asing yang ketika itu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), disyaki akibat didera.

"Bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.50 pagi keesokkan harinya dan hasil bedah siasat mendapati wujud elemen jenayah dalam punca kematian bayi itu," katanya.

Balveer berkata dua daripada yang ditahan ialah pengasuh bayi berkenaan iaitu pasangan suami isteri warga tempatan dan polis masih berusaha mengesan ibu kepada bayi itu yang merupakan warga Vietnam.

“Kesemua yang ditahan direman selama enam hari bermula Jumaat lepas,"

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda mkasimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

TETITIA YUSOFF