IPOH, 7 Jun- Polis akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes cabul seorang doktor terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, 4 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan suspek dilakukan selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Bota, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada 9.14 malam kejadian.
Menurutnya suspek ketika ini direman tiga hari bermula 5 Jun bagi membantu siasatan.
"Untuk kes tersebut pihak polis telah menerima laporan dan kita telah membuka kertas siasatan dan kita telah menangkap suspek serta mendapat reman selama tiga hari, insya-Allah kita akan lengkapkan kertas siasatan untuk dibawa ke proses pengadilan,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Menembak Bersama Media di Ipoh.
Pada 4 Jun lepas, seorang remaja perempuan membuat laporan polis selepas mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual oleh lelaki dipercayai doktor semasa mendapatkan rawatan di wad kecemasan, Hospital Changkat Melintang.