KUALA KANGSAR, 7 Jun - Dua lelaki warga Thailand mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki minyak petrol tanpa lesen pada April lalu.
Suphachai Awaekuechi, 41 tahun, dan Sayadee A-Wang, 30 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap kedua-dua tertuduh dan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut
Mahkamah turut memerintahkan kenderaan milik tertuduh dilucuthakkan dan duit jualan minyak diserahkan kepada kerajaan.
Suphachai didakwa memiliki 120 liter minyak petrol dalam 10 tong dan 50 liter minyak dalam tangki utama kenderaan nombor pendaftaran Thailand yang menimbulkan syak dengan menjual secara runcit atau borong tanpa lesen.
Manakala Sayadee didakwa memiliki 92 liter minyak petrol dalam tangki utama kenderaan nombor pendaftaran Thailand yang menimbulkan syak bagi tujuan sama.
Kedua-dua perbuatan yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 itu merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.