fb fb fb fb fb

JKDM tidak kompromi, lindung salah laku anggota

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi atau melindungi salah laku pelanggaran integriti pegawai jabatan itu.

JKDM dalam satu kenyataan berkata, jabatan itu juga akan memberikan kerjasama bagi melakukan siasatan lanjut terhadap tiga orang pegawainya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pihak JKDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak," katanya.

Pada masa ini JKDM turut mengambil langkah proaktif bagi mengekang rasuah dan ketirisan di pintu masuk dan keluar negara.

Dalam pada itu, JKDM turut berterima kasih kepada SPRM dalam memerangi rasuah selaras agenda jabatan itu dalam memartabatkan nama baik dan perkhidmatan awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI