SHAH ALAM, 28 Mei - Polis mengesahkan suspek yang melakukan jenayah pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya kini giat mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian pada 22 Mei lalu.
"Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati nombor pendaftaran yang terdapat pada kenderaan berkenaan dipercayai palsu.
"Setakat ini, seramai tujuh individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, tular sebuah video di media sosial dipercayai rakaman kamera CCTV sekitar rumah pemain bola sepak Selangor FC berusia 30 tahun itu.
Video itu memaparkan suspek menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menunjukkan sebuah motosikal berwarna biru telah dilarikan oleh seorang lelaki dari perkarangan rumahnya.
Media sebelum ini melaporkan rumah Ahamad Khuzaimi dipecah masuk. Dilaporkan beberapa dokumen penting, passport, sebuah motosikal dan empat beg pelbagai jenama.
Pemain pertahanan itu menjadi mangsa kedua diganggu oleh individu tidak dikenali.