fb fb fb fb fb

Pengarah Urusan ditahan disyaki beri rasuah berkaitan tanah rizab Melayu

Foto SPRM

IPOH, 28 Mei –Seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan hartanah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah bagi mengubah status Tanah Rizab Melayu kepada bukan Rizab Melayu.

Sumber memaklumkan, perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 31 Mei 2024 dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liana selepas SPRM membuat permohonan reman tersebut di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi.

Suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan sekitar pukul 7.00 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perak.

“Siasatan awal  mendapati suspek dipercayai telah membayar wang rasuah kepada seorang penjawat awam yang bekerja di pejabat tanah di sebuah negeri di utara tanah air.

“Wang tersebut bertujuan mengubah status Tanah Rizab Melayu kepada bukan Rizab Melayu yang berkeluasan kira-kira  650 hektar yang menyebabkan tanah Rizab Melayu tersebut dipecah sempadan dan dipindah milik kepada syarikat dan individu bukan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM,  Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

Kes disiasat bawah akta 16(b) (B) Akta SPRM 2009.

MAT YUNUS BIN SABRI