fb fb fb fb fb

Inspektor tidak mengaku minta, terima rasuah RM20,000

Tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, di pekarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini

ALOR SETAR, 28 Mei- Seorang pegawai kanan polis hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM20,000.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini a/p Nadarajan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh berpangkat Inspektor dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu didakwa cuba meminta rasuah wang tunai berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki, 33, dalam sebuah kereta di Kampung Kenangan, Serdang pada pukul 10.15 malam, 21 Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan melaporkan penahanan lelaki berkenaan yang disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM15,000 daripada lelaki sama berkait kesalahan yang sama di Sungai Tengas, Serdang pada pukul 10.30 malam, hari sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki, 30, untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki yang ditahan sebelum itu di Kampung Sungai Tengas, Serdang pada pukul 11.00 malam hari sama.

Sementara bagi pertuduhan keempat, tertuduh melalui perbualan telefon bersetuju menerima suapan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada lelaki yang ditahan sebelum itu di sebuah lokasi di Sungai Petani pada pukul 5.40 petang, 22 Jun 2021.

Kesemua pertuduhan disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

SITI AISHAH MD ISA