GEORGE TOWN, 27 Mei- Polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta serta menahan seorang lelaki yang terlibat dengan kegiatan memproses dan mengedar dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Khaw Kok Chin berkata, rampasan dibuat di sebuah rumah teres tiga tingkat di Sungai Ara dan sebuah pangsapuri di Gelugor yang dijadikan sebagai stor dan makmal memproses dadah.
Menerusi operasi itu, pihaknya merampas 13.84 kilogram (kg) dadah jenis heroin, syabu (46.18 kg), serbuk heroin base (34.14 kg) dan serbuk kafein (118.02 kg).
"Modus Operandi (MO) dia adalah menyewa rumah-rumah berkenaan, rumah teres tiga tingkat itu dijadikan makmal memproses dadah dan pangsapuri itu dijadikan tempat menyimpan dadah.
"Pistol pula kita akan minta Jabatan Siasatan Jenayah semak sama ada pernah digunakan untuk kegiatan merompak atau pun sebaliknya.
"Siasatan mendapati kegiatan ini beroperasi sejak awal Januari tahun ini, bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas enam pucuk pistol pelbagai jenis serta 100 butir peluru hidup serta menyita empat buah kereta dan dua motosikal.
Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM5.03 Juta.
Suspek yang berusia 38 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.