MUAR, 19 Disember – Polis sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam kes samun berkawan secara bersenjata di Taman Sri Teh, Muar, Johor, pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata laporan mengenai kejadian itu diterima sekitar pukul 6.20 petang pada hari kejadian.
"Pada pagi Rabu, sekitar pukul 11.30 pagi, pihak polis menemui kereta yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian tersebut. Kenderaan itu dijumpai ditinggalkan di Jasin, Melaka," katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan samun berkawan dan bersenjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Inspektor P.S Seventhi di talian 011-1625 1909 bagi membantu siasatan.