fb fb fb fb fb

Polis kenal pasti seorang suspek perompak laut tembak anggota Maritim di Kunak

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain/Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti seorang daripada perompak laut dipercayai menembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu di perairan Kunak, semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut suspek terbabit serta kewarganegaraan suspek tersebut.

"Kita nampak ini adalah sebagai satu kes rompakan laut pada musim perayaan, ada yang ulang-alik dari Kunak Ke Semporna, mereka mengambil kesempatan merompak bot yang ada di laut.

“Buat masa ini seorang daripada anggota Maritim Malaysia telah menjalani pembedahan mata bagi mengeluarkan peluru dan kini dalam keadaan stabil. Pada awalnya nak letak mata palsu, namun alhamdulillah matanya tidak perlu dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan dua anggota penguat kuasa Maritim Malaysia Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak, pagi semalam.

Ujar Razarudin, Pasukan Polis Marin telah diarahkan untuk membuat rondaan dengan lebih kerap bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang kembali.

“Setakat ini, siasatan kita (polis) memang nampak dia (perompak) ambil peluang untuk merompak.

“Ini bukan trend perayaan, memang kebetulan dia rompak (pada) hari itu,” katanya.

Dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

GRACE AISYAH KEDAYAN