fb fb fb fb fb

Polis Kedah tumpaskan 'Geng Capang'

ALOR SETAR, 23 Mei - Polis Kedah berjaya menumpaskan 'Geng Capang' yang aktif melakukan kegiatan pecah masuk pejabat kerajaan dan sekolah di negeri itu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, 11 individu termasuk ketua kumpulan itu berjaya ditangkap dalam Op Pintu Capang di empat daerah di Kedah dan Perak pada 21 Mei lalu.

Berdasarkan statistik bagi tempoh Januari hingga awal Mei lalu, sebanyak 22 buah sekolah dan 11 bangunan kerajaan di lima daerah di Kedah telah dipecah masuk.

"Dia punya modus operandi adalah menyasarkan pejabat-pejabat yang berdekatan dengan jalan raya. Suspek akan menggunakan jalan belakang dengan memotong pagar masuk kemudian mengambil barang-barang pejabat," katanya kepada pemberita di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini.

Dengan tertumpasnya kumpulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah telah menyelesaikan 25 kes pecah bangunan kerajaan dan sekolah di kedua-dua negeri berkenaan.

Rentetan itu, Op Capang dilancarkan dan berjaya menahan lapan lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 17 hingga 41 tahun berasal dari Baling, Kedah yang disyaki terlibat dengan jenayah pecah bangunan kerajaan dan sekolah.

Suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 20 telefon bimbit, enam tablet, tiga kamera, 10 beg sandang, pelbagai peralatan pecah rumah dan tiga buah kereta.

Ujian saringan air kencing ke atas lapan suspek berkenaan mendapati positif dadah jenis methaphetamine dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 25 Mei ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah dengan bersembunyi atau pecah rumah bagi maksud melakukan kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Customer Support