fb fb fb fb fb

JIM Johor serbu lokasi panas PATI, 86 ditahan

JOHOR BAHRU, 23 Mei- Seramai 86 warga asing dan dua lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi serentak di tiga daerah di negeri ini, antara Isnin lalu hingga semalam.

Ia membabitkan pelbagai operasi seperti Ops Sapu, Ops Selera, Ops Pintu, Ops Mahir serta Ops Kutip itu, menyasarkan 42 premis di kawasan 'hotspot'.

Pemangku Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata
serbuan dilakukan selepas menerima aduan orang awam berhubung warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan maklumat awam mengenai warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Beliau berkata, mereka yang ditahan di daerah Johor Bahru terdiri daripada 19 lelaki dan 11 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, 19 lelaki dan tiga wanita Myanmar, sembilan lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Pakistan serta seorang lelaki warga India.

Jelasnya PATI ditahan berusia antara enam bulan hingga 51 tahun dan turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang juga pemilik dan majikan premis.

"Di Batu Pahat pula, mereka yang ditahan adalah 14 lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia antara 20 tahun hingga 45 tahun dan turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang juga pemilik premis kilang yang diserbu.

"Di Segamat, mereka yang ditahan adalah tiga wanita warga Indonesia dan dua lelaki Pakistan masing-masing berusia antara 22 tahun hingga 43 tahun," ujarnya.

Menurut Mohd Faizal, dalam operasi itu, seorang warga asing berusia 40 tahun dipercayai pembantu rumah didapati melarikan diri daripada majikan asal.

aidan