fb fb fb fb fb

Polis Johor tumpaskan Geng Atan

Polis Johor berjaya menahan empat lelaki disyaki ahli sindiket pecah rumah dikenali sebagai Geng Atan / Foto Fail

JOHOR BAHRU, 2 Januari – Polis Johor berjaya menahan empat lelaki disyaki ahli sindiket pecah rumah dikenali sebagai Geng Atan dalam tiga serbuan berasingan pada 11 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar memaklumkan kesemua suspek berumur antara 41 hingga 52 tahun dan dipercayai aktif sejak 2011 dengan melakukan pecah rumah serta kecurian kenderaan di sekitar kawasan Johor Bahru.

“Modus operandi sindiket ini adalah memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni dengan cara mengumpil pintu sebelum menggeledah premis dan melarikan barangan berharga, termasuk kenderaan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas beberapa barangan hasil jenayah dan peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457, Seksyen 414, dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN