KEMAMAN, 2 Januari – Seorang penganggur berusia 49 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dan memiliki senjata tiruan di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.
Tertuduh, Tan Chee Kiong, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Bagi pertuduhan pertama, Tan didakwa melepaskan tembakan menggunakan senjata jenis ‘slingshot’ bersama peluru ‘ball bearing’, sehingga menyebabkan kerosakan cermin sebuah rumah di Taman Banggol Indah, Kampung Paya Berenjut, pada 28 Disember lalu, kira-kira pukul 4.30 petang.
Tindakan itu mengakibatkan kerugian sebanyak RM3,000 kepada pemilik rumah.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang ‘slingshot’ berwarna rose gold dan satu bekas plastik mengandungi 79 biji peluru ‘ball bearing’, yang ditemukan di atas meja dalam bilik rumahnya pada 29 Disember lalu, sekitar pukul 6.45 petang.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM3,000 untuk pertuduhan pertama dan RM2,500 bagi pertuduhan kedua.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.