fb fb fb fb fb

Cubaan seludup hasilan pertanian, produk haiwan dipatahkan MAQIS Kelantan

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan berjaya mematahkan dua cubaan membawa masuk barangan hasilan pertanian dan haiwan tanpa dokumen sah / Foto RTM

KOTA BHARU, 2 Januari – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan berjaya mematahkan dua cubaan membawa masuk barangan hasilan pertanian dan haiwan tanpa dokumen sah di dua lokasi berasingan baru-baru ini.

Ketua Pintu Masuk MAQIS, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Mohd Ariwadi Mohd Salleh memaklumkan seorang lelaki ditahan di balai ketibaan pada 22 Disember lalu.

Lelaki itu dikesan membawa 30 kilogram hasil pertanian, termasuk buah nona, limau nipis, jagung, dan markisa dalam bagasi tanpa dokumen sah seperti Permit Import dan Sijil Perakuan Pematuhan.

“Nilai keseluruhan barangan dianggarkan berjumlah RM700, dipercayai dibawa masuk dari Kemboja untuk diberikan kepada kenalan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, rampasan itu dilakukan bagi mengelak risiko kemasukan serangga perosak dan penyakit yang boleh menjejaskan industri pertanian dan keselamatan makanan negara.

Perbuatan itu melanggar Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Dalam kes berasingan pada 20 Disember, MAQIS Kelantan turut menggagalkan cubaan sepasang suami isteri membawa masuk 32 kilogram produk ayam susu di Kompleks ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Pasangan berusia lingkungan 30-an itu dikesan menyembunyikan barangan bernilai RM400 tersebut dalam bonet kenderaan mereka. Produk dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran di negeri Perak,” ujar Mohd Ariwadi.

Hasil pemeriksaan mendapati produk hasilan haiwan itu cuba dibawa masuk tanpa Permit Import MAQIS, Sijil Kesihatan Veterinar, dan Sijil Halal daripada JAKIM.

Perbuatan itu juga melanggar Seksyen 11(1) Akta 728.

Kesemua barangan yang dirampas kini diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN