fb fb fb fb fb

Polis giat buru dua suspek khianat, bakar kereta di Damansara

Keadaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dibakar oleh dua lelaki yang tidak dikenal pasti di Ara Damasara, pada 7 April/Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 9 April - Polis masih memburu dua lelaki yang belum dikenal pasti berhubung kejadian khianat dan membakar sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di Ara Damasara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 12.26 tengah malam, Ahad lalu.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati berlaku perbuatan khianat oleh dua individu yang belum dikenal pasti dengan sengaja membakar motokar tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki berusia 56 tahun meletakkan kereta jenis Toyota Hilux miliknya di Kampung Sungai Kayu, Ara Damansara dalam keadaan baik dan dikunci.

Bagaimanapun, melalui semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di bahagian hadapan kereta milik kontraktor itu dan menuang cecair disyaki petrol sebelum kereta itu terbakar.

Susulan insiden itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

GRACE AISYAH KEDAYAN