fb fb fb fb fb

Polis buru lelaki warga asing terlibat kes bunuh di Kuala Kurau

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris / Foto RTM

BAGAN SERAI, 30 Ogos - Polis sedang memburu seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki dalam satu pergaduhan yang berlaku di Kuala Kurau kira-kira pukul 12.35 tengah malam, 18 Ogos lalu.

Sebelum ini, pihak polis telah menahan seramai 21 lelaki warga asing yang terdiri daripada 10 warganegara Myanmar dan 11 warganegara Nepal.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata identiti suspek ketiga telah dikenal pasti hasil daripada keterangan dan siasatan yang dijalankan.

"Suspek utama yang masih bebas kini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Usaha untuk mengesan suspek utama masih diteruskan dan pihak polis telah memohon waran tangkap ke atas suspek utama untuk tindakan lanjut bersama pihak Interpol," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang pekerja kilang warga Nepal maut disyaki ditikam dengan objek tajam dalam pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan pekerja warga asing di sebuah asrama pekerja di Kuala Kurau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN