fb fb fb fb fb

PGA tahan 10 individu cuba rentas sempadan

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju/Foto BERNAMA

TUMPAT, 13 November — Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan masih berlaku cubaan merentas sempadan secara haram oleh individu dipercayai penyeludup di kawasan Malaysia-Thailand, termasuk sekitar dua pangkalan haram yang telah dirobohkan pada Oktober lalu.

Dua lokasi berkenaan ialah Pangkalan Haram MCA dan Gergaji di Rantau Panjang, dengan 10 individu ditahan sejak 2 November hingga semalam.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata pihaknya kini melaksanakan kawalan statik bagi mengekang pergerakan penyeludup yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Kita tidak boleh lagi sekadar meronda seperti kucing dengan tikus. Jika penjenayah ada tipu daya, kita juga perlu bijak menggunakan strategi untuk menangkap mereka,” katanya pada sidang media selepas menyambut Konvoi Uji Pandu dan Ujian Alat Perhubungan Komunikasi Kereta Perisai Armoured Personnel Carrier (APC) Semenanjung Malaysia di Markas Kompeni Taktikal (Martek), Pengkalan Kubor hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Setakat ini, empat pangkalan haram telah dirobohkan termasuk dua di Tanah Merah iaitu Dua Riya dan Nusi.

Dalam perkembangan berkaitan, PGA Batalion 8 turut menumpaskan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan dengan menahan 89 individu menerusi 59 kes sepanjang dua minggu penugasan Op Taring Wawasan Kelantan bermula 2 November hingga semalam.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.3 juta, membabitkan dadah, kenderaan dan penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI).

GRACE AISYAH KEDAYAN