MACHANG, 13 November — Dua bekas pengikut ajaran Ayah Pin merupakan antara 13 individu yang ditahan ketika berhimpun secara haram di luar Istana Negeri, Kubang Kerian pada Selasa lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kedua-dua individu berkenaan turut didapati positif dadah, bersama lima lagi selepas ujian air kencing dilakukan.
Beliau berkata siasatan juga meneliti penglibatan beberapa penduduk Orang Asli yang turut menghadiri himpunan tersebut.
“Siasatan awal menunjukkan mereka mahu menyerahkan barangan lama seperti parang, pedang dan tombak kepada Sultan Muhammad Keenam, iaitu Sultan Kelantan akan datang. Peranan beberapa individu lain termasuk Orang Asli yang turut terbabit masih dalam siasatan," katanya selepas menghadiri Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025 di Dewan Profesional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, beliau mengesahkan suspek kedua yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan di Sungai Golok, Thailand, pada 1 November lalu mempunyai dua kerakyatan.
Suspek berusia 27 tahun itu masih diburu pihak berkuasa Thailand, manakala polis Kelantan membantu mengesan suspek di negara ini.
Media Thailand sebelum ini melaporkan suspek dikenali sebagai Salip Samae, adik kepada Alif Samae, 31, yang sudah menyerah diri pada 2 November.