RAUB, 5 Jun- Seorang peraih durian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memecah masuk sebuah bilik kasino di Genting Highlands dan mencuri 1,160 cip bernilai RM4.6 juta milik Genting Highlands Berhad pada Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Lee Kian Kiong, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama tiga lagi yang dituduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7.12 pagi, 28 Oktober tahun lalu, dengan melakukan pecah rumah ke bilik Twilight 3, Sky Casino Genting Highlands yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudian, boleh dikenakan denda dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala tertuduh diwakili peguam, Dinesh Muthal.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Julai depan.