KUANTAN, 5 Julai- Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,200 di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), sejak enam tahun lalu.
Tertuduh, Solehuddin Isa, 37 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia KLIA, didakwa menerima suapan untuk diri sendiri sebanyak RM300 hingga RM2,000 daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun, antara 31 Julai 2018 hingga 11 September 2022, di sebuah bank di Temerloh.
Suapan tersebut sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori milik syarikat itu yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) Akta sama, dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh di penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Afif Ali dan tertuduh diwakili peguam Mohd Nazri Yahya dan Mohd Faiz Omar.
Hakim membenarkan Solehuddin dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya, selain tidak berhubung dengan saksi sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.