fb fb fb fb fb

Penjawat awam ditahan terima rasuah RM15,000 daripada syarikat pembalakan

FOTO HIASAN

KOTA KINABALU, 12 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada sebuah syarikat pembalakan.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki berumur 40-an telah ditahan di pejabat SPRM Sabah di sini kira-kira 10.00 pagi semasa hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati pada September 2019 suspek meminta rasuah kira-kira RM30,000 dan telah menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat itu sebagai dorongan untuk meringankan impak laporan kesalahan aktiviti pembalakan haram.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

“Suspek dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM10,000 serta seorang penjamin dan dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam di Sabah agar tidak terlibat dengan gejala rasuah kerana ia akan merosakkan imej jabatan dan mencerminkan penjawat awam tidak berintegriti. -BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE