JOHOR BAHRU, 28 April – Polis Johor menahan bekas suami kepada pempengaruh media sosial terkenal, Kim Seri, pada 21 April lalu bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.
Suspek berusia 41 tahun itu merupakan pemilik akaun syarikat Cikgu Kimchi Trading, yang digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa yang terpedaya dengan tawaran pelancongan tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata sebanyak lapan kertas siasatan dibuka terhadap akaun terlibat, membabitkan kawasan Johor Bahru Selatan, Kota Tinggi, Seri Alam, Iskandar Puteri, Muar dan Kluang.
"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Siasatan turut mendapati suspek terlibat dengan modus operandi yang sama di beberapa negeri lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.